Salam sejahtera kepada pembaca risalah ini, Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang telah memberi kudrat dalam bentuk pemikiran idelogi islam untuk di terjemah dalam bentuk tulisan pena.
Dengan terbitnya risalah ini dapatlah kiranya memberi sedikit pedoman dan resepi untuk anjakan paradigma kita kearah mengingati kuasa dan zat ALLAH S.W.T.
Para pembaca yang budiman,sedarkah kita sekarang banyak peristiwa,berita atau cakap-cakap orang mengenai kebinasaan alam yang telah berlaku seperti contohnya tsunami,gempa bumi,banjir lumpur dan lain-lain lagi. Kebinasaan alam ini boleh berlaku di mana-mana tanpa mengira tempat. Persoalan yang timbul adalah apakah kita mengetahui setiap dari apa yang berlaku itu ada yang membuatnya. Tapi siapa yang melakukan semua ini. Kebinasaan ini tidak akan terjadi dengan sendirinya. Contohnya kita ingin membuat sebuah rumah tapi tidak ada tukangnya. Adakah rumah tersebut terjadi dengan sendirinya. Semua ini adalah peringatan dari Allah S.W.T untuk makhluknya. Sedarkah kita ini di jadikan dalam bentuk kata nama bahasa arab mengunakan tiga huruf iaitu نسى yang bermaksud lupa,maka jadilah Al-Insan ( الانسان ( yang bermaksud pelupa.
Kebinasaan alam dalam konteks islam di sebut ‘kiamat’. Semenjak langit dan bumi diwujudkan oleh ALLAh S.W.T maka kemusnahan alam semesta ini pun telah di tentukan olehNYA di Luth Mahfuz. Tiada sesiapa atau benda yang kekal abadi. Maka kemusnahan yang besar alam semesta ini dinamakan KIAMAT .
ALLAH S.W.T berfirman didalam Al-Quran :
اقــــــــتــــــــــــرب الساعـــــــــة وانشــــق القمــــــر(ا)
“ Telah hampir saat ( kedatangan hari kiamat ), dan terbelahlah bulan.” ( Al-Qamar : 1 )
ALLAH S.W.T seringkali mengingatkan makhlukNYA yang dinamakan manusia tentang terjadinya Hari Kiamat ( Hari kemusnahan ) secara ‘total’ di dalam ayat-ayatNya di dalam Al-Quran. Malah sekitar abad ke 20 para saintis telah menemukan beberapa penemuan yang membenarkan tentang dakwaan adanya hari kiamat.
Mengikut teori Dr.Bothe dan gamov iaitu saintis Astrofizik Amerika pada tahun 1938. Firman Allah S.W.T dalam ayatNya menerangkan:” Apabila matahari dilingkari cahayanya ( dan hilang lenyap ); dan apabila bintang-bintang gugur berselerak ; dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu);………….” ( At- Takwiir : 1-3 ). Dr.Bothe telah membenarkan ayat “Apabila matahari dilingkari cahayanya ( dan hilang lenyap );” dengan penemuan nya yang menyatakan bahawa matahari telah dirosakkan oleh gumpalan Hidrogen sejumlah 4.2 juta sesaat oleh tindakan termonuklear. Ini bermakna 592.2 juta tan hidrogen akan bertukar menjadi 588 juta helium, dan sebanyak 7.2 x 1033 proton akan rosak dan menghasilkan kuasa sebanyak 3.8 x 1024 kilowat sesaat. Oleh itu terhasillah kelompok matahari di mana 1/3 bahagian nya adalah terdiri daripada hidrogen dengan tindakbalas yang amat hebat yang menyebabkan matahari terus-terusan bersinar. Namun demikian 2/3 bahagian matahari lagi menggunakan hidrogen tersebut lebih cepat dari sepatutnya menyebabkan matahari semakin panas. Ini menyebabkan ia akan mempengaruhi kehidupan alam dan menyebabkan jangkahayat matahri akan berkurangan dan akhirnya padam sama sekali.
Persoalan kedua yang ingin saya sentuh berkaitan punca kemusnahan alam ini ( Tanda-tanda akhir zaman ). Allah S.W.T telah berfirman di dalam Al-Quran : “ ( Kiranya golongan ynag ingkar masih tidak mahu menerima peringatan yang di beri kepadanya ) maka tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat mengejut, kerana sesungguhnya telah lahirlah tanda-tanda kedatangannya ( Hari Kiamat ). Kalaulah demikian, maka bagaimana mereka dapat menerima peringatan yang diberi kepada mereka apabila saat kiamat itu datang kepada mereka?. ( Muhammad : 18 ) sekarang ini telah banyak terjadi peristiwa-peristiwa yang menunjukkan terjadinya tanda-tanda akhir zaman. Bukti yang paling jelas ialah telah datang penutup segala nabi dan rasul yakni utusan Allah yang terakhir iaitu baginda Muhammad Rasulullah. Baginda adalah penutup segala utusan, maka kita adalah umat akhir zaman. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya : Rasulullah s.a.w telah bersabda : “ Jarak masa aku diutuskan dengan berlakunya hari kiamat adalah seperti dua jari ini ( iaitu jari telunjuk dan jari tengah )”. Hadis ini menunjukkan betapa jarak kiamat adalah begitu dekat.sedarkah kita zaman Rasulullah dengan zaman kita terlalu jauh bezanya. Sedarkah kita kalau difikirkan bermakna zaman kita ini telah terlalu rapat dengan hari kiamat.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “ Kamu ( Wahai umat Muhammad ) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi ( faedah ) umat manusia,…..” ( Al-Imran : 110 ).
Menurut ayat di atas, Allah S.W.T menerangkan bahawa kita adalah umat yang terbaik dikalangan umat-umat yang lain. Maka untuk siapa rasulullah s.a.w memperingatkan tentang tanda-tanda akhir zaman? bagi mereka yang berfikir tentang kebesaran Allah S.W.T, mereka mengatakan untuk mereka tetapi bagi mereka yang tidak berfikir begitu alangkah rugi merekanya mereka. Antara hadis Rasulullah s.aw banyak menerangkan tentang zaman manakah yang rasulullah s.a.w maksudkan sebagai zaman akhir itu?
Jadi di sini saya bawakan pembaca kepada himpunan hadis yang menceritakan tentang umat atau tanda-tanda yang berkaitan akhir zaman.
Hadis pertama : RAMAI MUNAFIQ DAN MURTAD.
Diriwayatkan daripada Ali r.a karramallahuwajhah katanya : Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : “ Pada akhir zaman akan muncul kaum yang muda usia dan lemah akalnya. Mereka berkata-kata seolah-olah mereka adalah manusia yang terbaik. Mereka membaca Al-Quran tetapi tidak melepasi kerongkong mereka. Mereka keluar dari agama sebagaimana anak panah menembusi binatang buruan. Apabila kamu bertemu dengan mereka, maka bunuhlah mereka kerana sesungguhnya, membunuh mereka ada pahalanya di sisi Allah pada hari kiamat.”
Hadis di atas menerangkan kepada kita bahawa pada akhir zaman akan muncul satu golongan yang yang lemah imannya mengatakan bahawa mereka adalah golongan yang bijak pandai, tetapi mereka berpusu-pusu keluar dari agama ( murtad ) maka Allah S.W.T menghalalkan darah mereka untuk dibunuh.
Hadis kedua : FITNAH BERLELUASA.
Diriwayatkan daripada Usamah r.a katanya : Nabi s.a.w telah naik ke salah satu bangunan yang tinggi dari bangunan-bangunan di Madinah, kemudian baginda bersabda : “ Apakah kamu melihat apa yang aku lihat? Sesungguhnya aku melihat tempat-tempat berlakunya berbagai fitnah di sekitar rumahmu bagaikan tempat turunnya air hujan.”
Allah S.W.T telah melarang dan menegah perbuatan memfitnah sesama saudara kita. Allah telah berfirman di dalam kitabnya : “Bunuhlah Mereka dimana kamu temui. Usirlah mereka daripada tempat mereka mengusir kamu. Fitnah itu lebih besar dari pembunuhan. Janganlah kamu memerangi mereka di masjidil haram sehingga mereka memerangi kamu padanya. Sekiranya mereka memerangi kamu ( ditempat itu ) maka perangilah mereka. Demikianlah balasan bagi orang kafir”. ( Al-Baqarah : 191 )
Di dalam ayat tersebut Allah S.W.T memberi maksud bahawa dosa memfitnah adalah lebih besar jika dibandingkan dengan dosa membunuh dan Allah S.W.T menegah kita memerangi golongan ini melainkan mereka memerangi kita terlebih dahulu.
Di dalam ayat lain Allah S.W.T berfirman di dalam surah Al-Anfal : “ Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan ( sehingga ) menjadilah agama itu seluruhnya ( bebas ) bagi Allah S.W.T semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti ( dari kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik ) kerana sesungguhnya Allah S.W.T Maha Melihat akan jua yang
mereka kerjakan”. ( Surah Al-Anfal : 39 )
Allah S.W.T member gambaran supaya perangilah orang yang memfitnah supaya agama yang di redhaiNya ini suci dari segala ancaman fitnah yang merosakkan agama.
Hadis yan ketiga : TIMBUL PELBAGAI FITNAH.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya : Rasulullah s.a.w bersabda : “Akan terjadi pelbagai fitnah, di mana pada ketika itu orang yang menjauhi fitnah lebih baik daripada orang yang melibatkan dirinya dengan fitnah tersebut, sesungguhnya orang yang melibatkan diri dengan fitnah akan mengalami kehancuran. Sesiapa yang menemui tempat berlindung maka hendaklah dia berlindung dari fitnah tersebut.”
Jika kita perhatikan hadis tersebut ayat tersebut menerangkan terjadinya pelbagai fitnah di akhir zaman. Sesiapa yang melibatkan diri dalam dosa fitnah maka ia akan mengalami kehancuran. Saya menterjemah menurut method saya, ayat kehancuran itu sebenarnya boleh di terjemahkan sebagai pembalasan neraka yang dijanjikan Allah S.W.T terhadap mereka yang ingkar terhadapNYA. Hadis ini juga kalau kita perhatikan ia menceritakan kepada kita tentang kisah yang akan berlaku di akhir zaman ketika ramai manusia yang sesat dan mengikut dajjal yang terkenal dengan kuasa mengfitnah. Ini telah dimaktubkan di dalam Al-Quran : “ Jika ( mereka berangkat bersamamu ), nescaya mereka tidak akan menambah ( kekuatanmu ), malah hanya membuat kekacauan, dan mereka bergegas maju kehadapan di celah-celah barisanmu untuk mengadakan kekacauan ( di barisanmu ); sedang di antara kamu ada orang-orang yang sangat suka mendengarkan perkataan mereka ( menghasut ) mereka. Allah S.W.T mengetahui orang-orang yang zalim. (Surah At-Taubah : 47 ).
Hadis keempat : FITNAH DARI TIMUR.
Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya : Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda dalam keadaan baginda mengadap kearah timur ( Iraq ) : “ Sesungguhnya fitnah akan muncul di sebelah sana, sesungguhnya fitnah muncul di sebelah sana yang mana akan muncul dua tanduk syaitan.”
Hadis kelima : IMAN SEMAKIN LEMAH.
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda : segeralah kamu beramal sebelum terjadi fitnah seperti menempuh malam yang gelap gelita. Ketika itu nanti ada orang yang beriman pada waktu pagi tetapi petangnya sudah menjadi kafir, petangnya kafir paginya beriman. Dia menjual agamanya dengan harta dunia.” ( Hadis Riwayat Muslim )
Saya cuba memberi inspirasi tentang hadis ini, dengan menterjemahkan dalam konteks dunia hari ini, pada ketika ini telah muncul di kalangan kita jenis manusia atau lebih tepat umat masa kini yang di baluti dengan dunia global yang serba canggih. Manusia hari banyak yang mengejar kemewahan tanpa mengira aspek halal ataupun haram, tanpa mengira aqidah mereka itu telah tersasar dari kedudukan yang sebenarnya, dalam masa yang sama mereka menunaikan amalan-amalan di suruh oleh agama, contohnya mereka melakukan solat tapi dalam nilai mencari rezeki mereka tidak menitik beratkan soal-soal rezeki. Punca rezeki ini menyebabkan iman kita semakin hari semakin lemah.
Jika kita perhatikan di dalam Al-Quran Allah S.W.T telah berfirman di dalam surah Al-Baqarah : “ Allah S.W.T adalah pelindung bagi orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya ( iman ). Dan orang-orang kafir, pelindung-pelindung mereka adalah syaitan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan. Mereka adalah penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya.”
Allah S.W.T merupakan pelindung kepada mereka yang beriman kepadaNYA. Dia jugalah yang mengeluarkan hambaNYA yang berserah diri sepenuhnya kepadaNYA dari kegelapan kejahilan kepada cahaya keimanan. Dan jangan kita jadikan diri kita terjerumus dalam kesesatan atau kejahilan kerana yang menjadi pelindung kita adalah syaitan. Ayat di atas menerangkan kepada kita barangsiapa yang menjadi hamba syaitan nescaya Allah menjanjikan mereka neraka, dan mereka kekal di dalamnya untuk selama-lamanya.
Hadis keenam : WANITA BERPAKAIAN TETAPI TELANJANG.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya : “ Ada dua golongan yang termasuk ahli neraka yang belum pernah aku lihat perbuatan mereka itu, iaitu kaum yang mempunyai cemeti ( cambuk ) seperti ekor lembu, lalu mereka memukulkannya kepada manusia. Kemudian wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, mereka bergaya untuk mencari perhatian lelaki ajnabi. Kepala mereka itu seperti ponok seekor unta. Mereka itu tidak akan masuk syurga dan tidak mencium baunya, sedangkan wangi syurga itu sudah terasa dari jarak sekian.’’
Allah S.W.T berfirman : “ Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah menampakkan perhiasannya ( aurat ), kecuali yang ( biasa ) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya ( aurat ), kecuali kepada suami mereka,………….. ( surah An-Nur : 31 )
Dalam konteks masa kini, kita sebenarnya banyak di pengaruhi oleh adat yang telah zaman berzaman kita amalkan dan kita anuti, jika kita lihat pada hadis di atas dan ayat al-quran, Allah S.W.T telah menggariskan tentang aurat yang perlu di jaga dan had-had yang perlu di batasi oleh masyarakat kita. Masyarakat kita sebenarnya suka mengambil sambil lewa atau lebih mudah diterjemahkan suka mengambil mudah dalam semua yang berkaitan hukum.
Ibubapa pada zaman sekarang, kebanyakkannya mengambil mudah terutama bila berkaitan dengan aurat. Ini dapat kita lihat dan perhatikan di zaman yang serba canggih dan moden ini, ibubapa kebanyakkannya tidak menegur dan menegah anak-anak mereka yang tidak menutup aurat contohnya dalam bab bertudung. Ini berlaku dalam masyarakat kita seperti kata pepatah melayu : ‘’ Bapa borek, anak rintik”. Saya suka mengatakan bahawa ini terjadi kerana ibubapa sendiri yang tidak menitik berat dalam bab aurat, contohya ibunya tidak bertudung maka anaknya juga tidak bertudung. Jika bertudung pun tidak sempurna kerana dalam istilah zaman moden ini, tudung juga mempunyai ‘style’ tertentu. Istilah ini mudah di terjemahkan sebagai bertudung juga tapi singkat dengan dada tidak di tutup sepenuhnya. Percaya atau tidak sekiranya saya mengatakan bahawa method ini sebenarnya telah di bawa ke dalam masyarakat islam oleh fikrah-fikrah yahudi? Mereka merosakkan kita dengan cara yang paling halus dengan mengkaji budaya orang islam dan agama islam.
Contoh yang lain saya bawakan seperti etika pemakaian orang islam. Islam menggariskan pakaian orang islam hanya dengan menutupi keseluruhan tubuh kecuali tapak tangan dan muka sahaja bagi perempuan dan pakaian itu haruslah longgar,tidak ketat, manakala bagi kaum lelaki adalah dengan menutupi aurat mereka yakni dari pusat hingga lutut. Tetapi pada zaman ini, mereka mengatakan mereka telah menutupi aurat mereka sedangkan mereka berpakaian ketat yang boleh membayangi tubuh mereka. Jadi para pembaca yang budiman, sedarkah semua ini? Marilah kita mengubah kejahilan ini dengan kita merasa takut kepada Allah yakni mengingati azab kemusnahan yang di janjikan olehNYA. Jagalah isteri kita, anak-anak kita, sedarkan mereka bahawa menutupi aurat mengikut lunas-lunas yang di gariskan islam itu hukumnya wajib. Ini telah diterjemahkan dalam ayat Al-Quran yang bermaksud :
“ wahai anak cucu Adam ! Sesungguhnya kami telah menyediakan pakaian untuk menutupi auratmu dan untuk perhiasan bagimu. Tetapi pakaian takwa, itulah yang lebih baik. Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah S.W.T, mudah-mudahan mereka ingat ”. ( surah Al-A’raf : 26 )
Hadis ketujuh : KEJAHATAN TELAH MENJADI KEBIASAAN KEPADA PARA PEMBESAR.
Pembesar bermaksud pemimpin mengikut kamus dwibahasa, pembesar telah diterjemahkan sebagai pemimpin dalam konteks masyarakat masa kini.
Dari Anas bin Malik r.a katanya ada orang bertanya kepada Rasulullah s.a.w : “ Bila masanya kami meninggalkan amar makruf dan nahi mungkar?” Maka Rasulullah s.a.w. menjawab : “ Apabila datang kepada kamu apa yang didatangkan kepada Bani Israel. Apabila kejahatan itu sudah menjadi kebiasaan pembesar-pembesar kamu, ilmu dimiliki orang-orang rendah dan kerajaan jatuh ke tangan orang-orang kecil ( orang bawahan ).”
Dikalangan pemimpin dunia sekarang ini hanya ada segelintir sahaja yang betul-betul menurut method islam. Hanya segelintir sahaja yang taat kepada ajaran yang di terapkan oleh agama islam. Ramai pemimpin pada masa kini yang tidak mengikut lunas-lunas islam, mereka terlalu mengikut kehendak dalam diri mereka dengan bertunjangkan hawa nafsu sebagai memenuhi kehendak diri dengan mengamalkan rasuah di kalangan mereka. Mereka sanggup membelakangi tunjang islam kerana tidak dapat memenuhi kehendak serta kepuasan peribadi mereka.
Allah S.W.T telah berfirman : “ Dan kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah kami selama mereka bersabar. Mereka menyakini ayat-ayat kami.”
Syaamil Al-Quran telah menterjemahkan sabar dalam ayat di atas sebagai bersabar dalam menegakkan kebenaran. Hanya golongan pemimpin yang bersabar dalam menegakkan kebenaran sahaja yakni berani menjelaskan kebenaran tanpa melakukan perkara yang menyalahi aqidah dan tuntutan agama sahaja yang di janjikan Allah S.W.T , tempat yang terbaik ( syurga ).
( ikuti sambungan dilain masa )
Jumaat, 20 November 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan